Kepimpinan Dan Demokrasi

Semasa sekolah rendah awal tahun 80an, kita diajar dalam matapelajaran Tatarakyat berkaitan Sistem Pemerintahan Di Malaysia. Kita juga diminta untuk menghafal nama nama menteri, kerana pada masa itu, pertukaran menteri jarang berlaku, tidak seperti sekarang ini, kerap bertukar ganti, sehingga sukar untuk dikenali dan diingati.

Sebelum tajuk ini diperpanjangkan, saya ingin menarik perhatian semua untuk melihat bentuk sebuah kerajaan (untuk mudah lihat rajah berikut) :

Sebuah Kerajaan perlu ada pemimpin dan rakyat. Kedua duanya adalah berkait rapat antara satu sama lain. Sekiranya ada Pemimpin tetapi tiada rakyat, siapa yang hendak dipimpin.Sekiranya ada rakyat, tetapi tiada pemimpin maka pincanglah masyarakat itu, kerana masing dengan urusan masing masing tanpa tujuan.

Satu lagi komponen penting, ialah tanah atau kawasan sebagai tempat tinggal dan pusat pentadbiran. Sekiranya ada rakyat dan pemimpin tetapi tiada tanah, maka bolehlah disifatkan sebagai kerajaan dalam buangan.

Untuk membentuk sebuah kerjaan yang berdaulat bukan suatu yang mudah, semudah kita menggunakan apa yang telah tersedia seperti sekarang ini. Oleh itu kita seharusnya bersyukur dengan apa yang ada sekarang ini. Kita juga seharusnya menghargai kurniaan tuhan keatas apa yang telah kita perolehi. Sebagai tanda syukur dan sebagai tanda penghargaan tersebut, perlulah kita menjalankan tanggungjawab masing masing mengikut kepakaran serta keupayaan yang ada.

Perlaksanaan kearah memakmurkan kurniaan tuhan tersebut perlukan pemimpin yang amanah, jujur, ikhlas serta bahan (komponen) yang paling berharga dan bernilai tinggi yang telah di lenyapkan ialah perlulah orang itu bertaqwa. Kerana dengan taqwa sahaja, seseorang itu akan berlaku jujur, amanah dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Tanpa taqwa, sifat jujur, amanah serta ikhlas hanya tinggal “SLOGAN” semata mata.

Dari rajah yang dilakarkan itu, kita boleh menilai sendiri, bagaimana akrabnya hubungan antara pemimpin dan rakyat. Tanpa rakyat, pemimpin tiada bererti, dan tanpa pemimpin rakyat tak keruan jadinya. Berdasarkan keadaan itulah pelbagai cara dikemukakan sebagai syarat untuk membentuk sebuah kerajaan.

Misalnya bagi Negeri Sembilan, (secara ringkasnya – kalau salah maafkan saya, sebab saya bukan orang negeri) menggunakan sistem suku, dimana setiap suku perlu melantik wakil masing masing, untuk mewakili mereka keperjumpaan, bagi melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.Corak dan cara perlatikan, yang tu terserah kepada Rakyat NS sendiri. Kerana bukan itu tujuan penulisan ini. Itu sekadar contoh bagi menunjukan wakil perlu, serta tugas wakil tersebut adalah berat. Wakil tersebut menentukan pemimpin terakhir bagi penyatuan secara keseluruhannya.

Begitu juga dengan negara kita, Malaysia, perlu kepada pemimpin untuk memimpin rakyat terbanyak. Diharap dari rajah dan penjelasan tersebut dapat difahami, apa itu sebuah kerajaan dan bagaimana perlunya pertalian antara Rakyat-Pemimpin-Negara.


Catatan: Labu-Labi

Mahligai Untukmu....

...ini aku bina khas untuk seratus orang yang bertuah! sengaja aku bina mahligai (mansion) seratus bilik yang mewah senibina ala tudor ini, untuk dihuni oleh korang yang aku rasakan perlu menikmati satu kehidupan yang lebih baik daripada sebelumnya. sebab itulah aku pilih korang dari kalangan yang berpendapatan rendah, kerja tak menentu, tak pernah rasa kehidupan mewah dan dari golongan keluarga miskin.

mahligai ini mempunyai seratus buah bilik, yang standard-nya macam suite di hotel lima bintang! korang mesti pernah tinggal di hotel mewah lima bintang, kan? aku bina sebuah taman seluas dua hektar, dipenuhi pohon-pohon rendang dan bungaan yang segar. siap dengan lanskap dan sungai serta air terjun yang indah. ikan kap pelbagai warna berenang-renang di kolam yang jernih. di sebelah selatan pula, lima ekar dusun buah menunggu korang untuk memetiknya. durian d24, musang tidur, tembaga, semua ada, juga mangga mas hitam, water lily, chokonan, semua jenis ada, buah rambutan anak sekolah, gading... namakan aje! termasuklah buah manggis, duku langsat, dokong dan semua jenis buah-buahan tempatan ada di dusun aku itu. semua untuk korang melantak, free!

dan, pagi itu, seratus insan yang bertuah tiba di mahligai indah aku itu.

aku bawak mereka mengelilingi kawasan mahligai yang bagaikan syurga itu, dan rata-rata mereka yang tak pernah menjejakkan kaki ke kediaman seumpama itu hanya tercengang-cengang bingung!

'amacam, best tak?'
'huh, best giler tuan!'
'jangan panggil aku tuan, aku pun sama macam korang jugak, manusia biasa aje, tuan korang yang sebenarnya... (mendongak) ...tu kat atas langit tu, allah yang maha besar!'
semua terdiam.
'dah tengok bilik masing-masing?'
'dah! memang hebat! macam suite hotel!'
aku tenung seorang anak muda yang selekah. 'kau pernah tinggal hotel ke?'
'saya pernah kerja jadi bellboy dulu, saya taulah!'
aku angguk!
'dan satu lagi tuan....'
'jangan panggil aku tuan!'
'maaf! nak panggil apa ye?'
'panggil boss aje!'
'satu lagi boss, taman boss ni memang indah, kalau masuk pertandingan lanskap kebangsaan, saya sure menang nombor satu!'
'mana kau tau?'
'saya dulu tukang kebun kat rumah satu orang kaya ni, dia masuk pertandingan lanskap kebangsaan dapat nombor satu, tapi kalau saya bandingkan taman boss ni, hm, jauh panggang dari api, boss!'
'pembetulan ye, ini bukan taman aku, tapi taman korang semua! korang yang punya! jadi, tolong jaga keindahannya, kekalkan macam mana hari pertama korang jejakkan kaki ke sini! jangan nanti sampai ada pokok yang mati, bunga yang layu dan sebagainya, faham?!'
'faham boss!!!'
'lagi satu, korang suka tak bilik korang tu?!'
'suka giler boss!!!'
'cantik tak?!'
'cantik giler boss!!!'
'ingat! itu bilik korang, jaga macam jaga harta sendiri! semua tu perabot baru, tv baru, tilam, cadar semua baru! jaga dan hargailah bilik masing-masing, faham?!'
'faham boss!!!'
'bagus!'

dan, tibalah waktu makan tengah hari. pelbagai juadah yang enak terhidang di dewan makan yang besar. satu meja bulat boleh memuatkan sepuluh orang, dan terdapat sepuluh buah meja yang dihiasi rapi seperti menghadiri dinner di ballroom hotel mewah! selesai makan, aku tanya pendapat mereka yang aku pilih itu!

'sedap tak?' aku tanya salah seorang yang duduk paling hampir dengan aku!
'huh, sedap giler boss... rasa macam artis berbuka puasa pulak boss!'
'hah? yang lain-lain macam mana, sedap tak makanan kat sini?!'
'sedap giler boss!!!'
'ingat! lepas makan, semua basuh pinggan sendiri, jaga kebersihan dewan makan ni, korang tengok lapik meja ni, pinggannya, sudu-garpunya, semua dari jenis yang mahal, jangan sampai hilang, pecah, rosak dan sebagainya, faham?!'
'faham boss!!!'

aku puas hati, dan malam itu aku tinggalkan seratus orang yang bertuah itu, yang aku pilih untuk aku naikkan taraf kehidupan mereka! yang aku sediakan chef untuk memasakkan makanan lazat untuk mereka setiap hari! cuma, tukang cuci bilik saja yang aku tak sediakan! dan, tukang kebun! pandai-pandailah diorang nanti uruskan mahligai ini, betul tak?!

setahun kemudian, tiga ratus enam puluh lima hari berlalu... aku datang lagi menjenguk mahligai yang aku bina untuk mereka itu! namun, sebelum itu, aku pastikan mereka semua tiada semasa aku datang itu! sengaja aku aturkan satu rombongan ke pd untuk mereka mandi-manda dan berkelah di pantai indah itu. lalu, aku jenguk setiap bilik, aku perhatikan setiap inci taman dan persekitaran. alangkah hampanya. ada cadar yang koyak, penuh peta, tilam yang lunyai lembik, perabot yang terkopak, kerusi meja yang tempang kakinya, remote tv dan astro yang pecah berselotep, carpet yang bertompokan dengan air kopi atau milo yang tumpah! ada bilik yang berselerak macam sarang tikus, serta keadaan yang rosak teruk tidak sebagaimana aku tinggalkan setahun yang dulu!

namun, bukan semua bilik begitu! ada juga bilik yang kemas, bersih, juga tampak baru sebagaimana aku tinggalkan setahun dulu! tapi boleh dikira dengan jari!

aku melangkah ke taman, kecewa dan hampa melihat bunga yang tidak sesegar dulu, kelopaknya dah menguncup, ada daun yang kuning tak hijau dan sebagainya. ikan-ikan kap aku juga tidak sesihat dulu serta berkurangan pula jumlahnya! dan, aku duduk di sebuah bangku kayu yang kusam, merenung jauh ke alam maya yang dicipta allah untuk aku dan semua makhluknya!

mereka yang aku berikan mahligai indah untuk tinggal, dengan sedikit pesanan agar menjaganya sebaik mungkin tanpa membayar sesen pun masih tidak dapat menghargai pemberian aku ini!

dan kita, semua kita, aku, korang, mak bapak korang, sedara mara dan rakan taulan korang, yang allah berikan dunia serba indah ini, yang penuh rezeki, keindahan, bulan dan bintang serta matahari, untuk kita layari kehidupan, dengan syarat, mematuhi perintah-nya! dan, ketika korang duduk sendirian, ketika korang renung ke langit indah, tanyakan pada diri sendiri, banyak manakah perintah allah yang telah korang patuhi?

dan, kalaulah korang yang aku pilih di dalam seratus orang yang tinggal di dalam mahligai indah aku itu, adakah korang akan kembalikan kepada aku bilik yang seumpama baru sebagaimana aku berikan korang di hari pertama korang jejakkan kaki di mahligai aku itu?

ketika itu, tanpa aku sedari malam dah pun menjelang, aku mendengar suara-suara mereka yang telah pulang dari pd, berpesta, bersuka ria, tanpa mereka sedari aku telah pun melihat keadaan bilik masing-masing, dan telah aku huraikan bagaimana sikap kebanyakan mereka itu, manusia ini, kita, aku, korang, kita semua... selalu sahaja alpa dan tidak pernah berterima kasih di atas segala pemberian yang allah berikan, dan jarang untuk kita bersyukur dengan apa yang telah kita nikmati!

sama juga dengan seratus orang yang menghuni mahligai aku ini dan pernah berkata: 'faham boss!!!'

hakikatnya, mereka (bukan semua) masih tak faham untuk bersyukur dan berterima kasih....

Posted by ahadiatakashah

GURU.....

Menjadi guru itu perlu ada segala keinsanan.... kasih sayang, keikhlasan, kreatif dan sanggup berkorban...

PdP Abad Ke 21: PANDUAN PEMBELAJARAN KOPERATIF

1. KAEDAH SHARE N TURN
1. Fikir atau tulis apa yang disoal oleh guru
2. Duduk dengan kawan atau kumpulan
3. Beritahu kawan bergilir-gilir mengikut pusingan jam.
- A ke B
- B ke C
- C ke D.
- D ke A atau
- Masing-masing menulis dalam kertas. Kertas ditukarkan bergilir-gilir antara kawan-kawan sehingga kita mendapat kertas kita semula yang mengandungi 4 isi atau idea
2. KAEDAH THINK PAIR SHARE
1. Berfikir sendirian
2. Bercakap dengan rakan berdua
3. Membentang atau menerangkan dalam kumpulan apa yang difikirkan olehnya dan juga rakannya.
4. Rakan yang lain boleh menyoal ( soalan diberi oleh guru)
3. KAEDAH GALLERY WALK
1. Bergerak dari meja anda dan pergi ke paparan yang terdapat dalam kelas / lihat hasil kerja kumpulan lain ( guru memberi tugasan apa maklumat yang perlu mereka cari)
2. Tulis komen positif terhadap hasil kerja kumpulan lain atau ambil maklumat atau data yang diminta oleh guru.
3. Perkemaskan tugasan kumpulan anda agar menjadi lebih baik setelah melihat hasil kerja kumpulan lain.
4. KAEDAH RALLAY ROBIN
1. Guru menyoal atau bertanya pelajar.
2. Pelajar memberi pendapatnya kepada rakan sebelah kemudian rakan di hadapan seterusnya atau secara bersilang. Boleh juga sehala sahaja.
3. Guru meminta wakil kumpulan memberikan pandangan ahli kumpulan.
5. KAEDAH MENYOAL DAN BIMBING
1. Meminta pelajar menulis soalan di kad
2. Jawapan ditulis di belakang.
3. Guru mengumpul kad yang ditulis oleh pelajar
4. Menyerahkan kepada pelajar
5. Diberi masa untuk pelajar membaca soalan dan jawapan.
6. Pelajar bangun dan mencari kawan yang berlainan kad untuk disoal.
7. Pemegang kad memberi klu utk menjawab soalan tersebut.
8. Bertukar rakan untuk soal dan jawab.
6. KAEDAH IDEA RUSH
1. Fikir apa yang guru soal
2. Tulis dengan cepat dan menyebut dalam kumpulan dengan kuat
3. Pelajar laian tidak dibenarkan menulis idea yang sudah ditulis oleh rakan
4. Kumpul semua jawapan dan pilih 1 atau 2 yang terbaik
7. KAEDAH FAN N PICK
1. Duduk dalam kumpulan.
2. Setiap pelajar memilih nombor kepada diri sendiri
- Cth 1-2-3-4
3. Tunggu guru memberi kad
4. Secara bergilir-gilir diberi peluang untuk membaca, mencabut dan menjawab soalan.
No 1: ambil kad paling atas dan baca kepada murid ke 2
No.2: menjawab solan
No.3 : menilai jawapan betul atau salah
No.4. Merumus jawapan tersebut
Bacaan berguna untuk Pembelajaran Abad ke 21.
+ 10 Ciri Pembelajaran Abad 21
http://bit.ly/1KwwJaK
+ 6 Ciri-ciri Guru Abad 21
http://bit.ly/1Ud7KLT
+ 3 Kemahiran Yang Perlu Dikuasai Pelajar Abad 21
http://bit.ly/1PMeL2T
+ Susun atur Kelas Abad 21
http://bit.ly/1RTu0d5
+ Contoh RPH Abad 21
http://bit.ly/24g4t2z
+ 10 Contoh Aktiviti Pembelajaran Abad 21
http://bit.ly/1Ud7A7c
+ Gallery Walk Sebagai Strategi Pembelajaran Abad 21
http://bit.ly/1Rd9sdr
Sumber: Perkongsian WhatsApp Group

Dia Cinta Hatiku

Bayangan mentari telah mengubah hari….perhubungan aku dan dia juga melalui fasa yang berubah. Selepas lambaian 9 November itu, banyak masa kami habiskan bersama di dunia maya. Pertanyaan khabar walaupun bukan setiap detik, namun ia mampu dirasakan sepanjang hari. Sapaan salam melalui whatsapp setiap pagi sudah menjadi rutin kami. Kadang-kadang aku yang menyapa terlebih dahulu, tapi adakalanya dia yang lebih awal bertanyakan tentang keadaan aku. Aku tersenyum bahagia menikmati situasi ini dengan rindu sentiasa terucap antara kami.
Ada masa-masa tertentu kami sibuk dengan kerja masing-masing….maklumlah hujung tahun menjelang cuti sekolah banyak dokumen yang perlu diselesaikan untuk serahan kepada bos masing-masing. Selepas bertanya khabar, kami tumpu kepada kerja tanpa membalas whatsapp. Jika keadaan ini berlaku, dia akan whatsapp aku waktu tengah hari memohon maaf sebab tidak dapat bersembang pada paginya. Begitulah dia, sangat menjaga hati dalam perhubungan ini dan seboleh mungkin tidak mahu sesekali hati aku terguris. Aku rasa terharu….sangat terharu dengan layanannya. Penghormatan ini terlalu besar untuk aku terima.
Dia menyatakan rasa senangnya menjalin perhubungan dengan aku kerana aku tidak seperti kenalan-kenalan dia yang lain. Katanya aku tidak pernah mendesak dia untuk dilayan dan yang paling penting katanya aku pandai menjaga kehormatannya sebagai perempuan. Dia tidak dapat menerima sebuah perhubungan yang berasaskan kepentingan diri. Dia menzahirkan kekecewaannya bila ada di kalangan lelaki yang mengambil kesempatan dengan menghulur tali persahabatan semata-mata kerana paras rupanya.
Mengenali dia menjadi impian aku sejak membaca perwatakannya melalui muka buku KGM. Aku melihat ada keindahan di dalam dirinya yang aku rasa tidak salah untuk aku dampingi. Memang peringkat awalnya tampak jalan yang mustahil tetapi jalan itu mulai terbentang dengan kuasaNya yang maha besar. Kesudian dia membalas private message aku melalui muka buku menjadi rahsiaNya yang besar. Mengapa aku berfikiran sedemikian? Dia seorang yang tidak melayan private message daripada mana-mana lelaki yang ingin menghulurkan salam perkenalan. Tetapi…..kenapa private message aku dia tergerak hati ingin membalasnya? Message pertama dia memaklumkan yang dirinya belum ada kelapangan untuk membalas private message tersebut. Itu sebelah pagi. Pada malamnya dia menyambung message tersebut dengan bertanya khabar mengenai aku. Dari sinilah segalanya bermula sehingga message itu menjadi rutin kami.
Aku mengakui sepanjang perkenalan awal itu aku tidak pernah mendesak dia untuk melayan atau membalas setiap whatsapp yang aku kirimkan. Isi whatsapp juga tidak pernah aku tunjukan miang untuk memiliki hatinya. Memang chatting antara kami sangat santai tanpa rasa sebarang maksud yang menyeleweng. Aku suka mendengar cerita mengenai dirinya dan sesekali aku selitkan pendapat jika dia meminta apa-apa kepastian. Sehinggalah pada malam itu aku berani menyatakan rindu kepadanya. Dia membalasnya dengan menjawab yang dia senang dengan rindu itu. Masih aku ingat malam itu juga aku titipkan buatnya serangkap lirik lagu ‘Deolova’…..
Aku ingin menjadi mimpi indah dalam tidurmu….
Aku ingin menjadi sesuatu yang mungkin bisa kau rindu…
Dia membalas message itu dengan memberitahu aku perlu menjadi aku dan tidak perlu bertukar menjadi benda lain kerana sememangnya dia telah menyimpan rindunya untuk diri aku. Aku terpana seketika mendengar pengakuan itu. Hati aku berbunga riang sehingga tidak dapat dinyatakan dengan perkataan. Dia rindu?? Satu perkara yang tidak masuk akal tapi itulah pertambahan aksesories dalam perhubungan kami. Apa yang telah membangkitkan rasa rindunya itu, aku masih bingung memikirkannya.
Hari-hari yang berikutnya adalah detik yang bersejarah bagi kami. Malam tersebut satu malam yang telah bertukar dari sepi menjadi gemilang. Tarikh 15 November itu menjadi satu tarikh yang tak akan aku lupakan. Malam itu aku bertekad ingin meluahkan rasa sayang aku terhadap dirinya. Biarlah sesukar manapun, biarlah gemuruh macam mana sekali pun….aku akan melamar cintanya. Aku tak sanggup melihat dia dimiliki oleh orang lain. Aku tidak rela bibir idaman itu dikucup mesra oleh orang lain, pipi yang gebu itu dicium oleh orang yang bukan aku….duhai sayang, diri ini sangat mencintai kamu.
Bualan kami melalui whatsapp pada malam itu banyak berkait tentang perhubungan kami. Ucapan rindu tidak jemu-jemu keluar dari bibir kami dan malam itu dia turut menyatakan diri aku sangat penting dan sudah menjadi sebahagian daripada hatinya. Hati aku berbisik....apa lagi yang kau tunggu? Lampu hijau itu telah dia nyalakan...Saatnya sudah tiba untuk aku melamar cintanya. Tiada kata yang lebih indah, tiada rasa yang lebih manis melainkan……sayang, I love you….bergegar malam itu….air matanya mengalir dengan lamaran cinta itu.
“awk…..pipi saya dibasahi air mata pada malam ini. Awk….mengapa diri ini terlalu menyayangi, mengapa hati ini hanya ada awk….”
Rintihan dia pada malam itu membuat aku terpaku. Zalimkah aku kerana lewat melamar hatinya? Atau silapkah aku memberi dia harapan sedang jalan di depan ini penuh dengan onak duri? Tidakk! Aku tidak sesekali silap kerana perasaan itu tersulam tanpa kami sedar. Cinta itu membara ketika kami berbicara tentang hidup. Keinginan itu terdetik tanpa bahasa cinta sebaliknya dia hadir dalam naluri yang sangat indah. Bunga-bunga keriangan bercambah di hati kerana ia dibajai dengan rasa hormat, rasa tanggung jawab dan rasa keikhlasan dalam patah bicara.
Aku mengingati Kata-kata indahnya yang membuatkan aku bersemangat dalam hidup ini….
“ awk…impian…mmg sukar dicapai…tapi jauh di sudut hati sy….sy teringin sekali menjadi suri dlm hidup awk, membawa cinta ini ke akhir hayat sy sehingga menemukan kembali kebahagiaan itu di syurga”
Sejujurnya aku seakan berada di awangan menghayati kalimah yang dia titipkan itu. Ia bukan sekadar cinta tapi ini juga adalah satu pengharapan dari dia buat aku yang kerdil ini. Buat pertama kalinya aku merasakan diri ini terlalu dihargai dan aku bertekad akan perjuangkan cita-cita dan impiannya dengan membawa cinta ini sehingga tersulam indah di takhta yang agung.
“Cinta sy kalaupun ada, biarlah yang menjadi imam saya itu awk…atau seperti awk”
Ini adalah pendiriannya yang membuatkan aku kagum dan bertekad ingin menjalani kehidupan bersamanya…..iya, ingin menjadi imamnya! Memegang perkara amanah dalam hidup yang bukan kecil. Aku terharu....sangat terharu kerana betapa besarnya kepercayaan dia terhadap diri ini sehingga dia rela sandarkan seluruh hidupnya untuk aku. Apa lagi yang mampu aku lafazkan selain rasa syukur yang tidak terhingga.
“sy hanya mahu menjadi seorang isteri yang solehah, yg mencintai, mentaati suaminya kerana Allah, kerana redha Allah, dan mendapat cinta dan redha suami sepanjang hayat sy”
Dan….kata-kata ini membuatkan hatiku bergetar sayu….
“Semua ini yang membuatkan sy menangis saat menadah tangan memohon Allah memberitahu sy…apakah rahsia di sebalik ukhuwah ini sebab sy sedar….mustahil..”
Aku telah menyatakan dalam hidup ini tidak ada yang mustahil kecuali mati. Aku tidak pernah merasakan ianya suatu yang mustahil untuk membawa perhubungan ini menjadi legenda dan membawa kami ke gerbang jaya. Inilah cinta hatiku yang telah lama aku dambakan. Segalanya telah tertulis untuk cinta kami. Kisah ini kami gerakkan tanpa skrip. Pengarahnya adalah Yang Maha Besar di atas sana. Dialah yang memegang skripnya dan sesungguhnya perancangan Dia adalah pasti!

Sekiranya Kau Membalas Cintaku...

Sepasang mata indah yang sebelum ini hanya dapat ku tatap melalui helaian-helaian maya akhirnya ku temui pada petang Jumaat bersejarah itu. Seperti yang aku catat sebelum ini…..mustahil itu tidak ada dalam maksud hidup kecuali mati. Dan aku temui dia hari tu dengan perasaan penuh teruja, hati berlagu riang dan bercampur juga rasa tidak percaya. Cantik! Memang itulah kelebihan dirinya yang dilihat secara fizikal. Dia bukan Erra Fazira, bukan juga Nora Danish dan tidak juga Neelofa…tidak! Dia adalah diri dia yang tidak pernah diklon oleh sesiapa sebelum ini.
Cerita pertemuan hari itu menjadi titik mengukuhkan kedudukan diri aku. Hari-hari selepas itu menjadi hari-hariku yang berbunga….bukan berbunga kerana hubungan cinta, tapi berbunga kerana berpeluang menghampiri dia melebihi orang lain. Aku mulai perasan yang angan-angan aku tidak lagi angan-angan kosong walaupun perjalanannya tanpa sebarang panduan. Kami kerap kali berbalas pesanan whatsapp dengan pelbagai cerita yang bagaikan tidak pernah berpenghujung.
Cerita-cerita tentang dirinya semakin banyak aku perolehi dan kesudiannya berkongsi kisah seharian dia membuatkan aku berasa tidak sabar untuk berada dalam dunianya. Kisah dia yang sering diganggu oleh guru-guru lelaki sekolahnya kerap menghiasi sembang kami. Aku mula memahami yang dia sesungguhnya sangat tidak selesa dengan gangguan dari seorang guru lelaki yang telah beristeri dua itu. Dia perlukan aku untuk melindungi nasibnya di tempat kerja. Ini kesimpulan yang aku buat sekurang-kurangnya untuk menyedapkan hati bahawa diri ini memang diperlukan.
Jika benar aku diperlukan, benarkah aku tidak bermimpi? Mampukah aku sebenarnya berada di ruangan itu…..ruangan cinta bersamanya. Hati bergetar…..memang bergetar sejak pertama kali bersembang santai bersama dia di dalam muka buku itu. Jujur, naluri halus itu datang berkumpul dan bercorak menjadi indah. Aku kagum dengan tutur kata serta layanannya terhadap sekeliling. Bertitik tolak dari situ juga aku dapat membaca ketabahan serta kecekalannya melayari kehidupan dia yang ada pelbagai cabaran. Pertama kali aku rasa risau jika aku tidak dapat menjaga hatinya dengan sempurna….jauh anganku pergi.
Selepas aku ditinggalkan oleh seseorang yang aku anggap bakal suriku lebih 17 tahun yang silam, aku tidak pernah fikir tentang sayang, rindu atau kasih aku terhadap perempuan. Nak dikatakan merajuk, aku bukan merajuk sebenarnya. Cuma aku rasa segalanya telah jauh dari aku dan aku tidak terfikir untuk mengukir apa-apa angan. Aku sudah takut untuk memberi harapan pada insan yang memerlukan. Tetapi kehadiran dia telah menerbitkan detik itu…..detik keindahan menjadi seorang perindu dan rasa dihargai. Di mana kekuatan dia, aku sendiri tidak tahu.
Selama perkenalan dengan dia, aku menyedari yang dirinya menjadi perhatian ramai. Di dalam muka buku, aku dapat baca dan lihat sendiri. Di dunia nyata, dia memang akui rimas menepis perhatian orang terhadapnya. Hmmm….itulah cabaran orang yang dikurniakan wajah yang menarik, manis dan menjadi geram seorang lelaki. Aku pula jenis tidak suka berebut dan bermusuhan. Bagiku perebutan secara langsung atau tidak akan menjuruskan kita kepada permusuhan. Tidak usahlah cakap pasal jentelmen. Itu semua retorik sahaja. Yang betulnya, pihak yang tidak dapat tetap tidak seronok. Tetap tidak mampu bersorak-sorai seperti pihak yang dapat. Sedikit sebanyak di dalam hati tetap terbuku perasaan yang tidak elok. Paling koman pun keinginan hendak membalas dendam. Kalau sendiri tidak dapat membalas, dia tetap berharap orang lain tolong membalas. Ini kaedah orang kalah la yang sepatutnya aku tidak perlu fikirpun sebab antara aku dengan dia statusnya entah setakat mana. Angan jer pun yang lebih!
Apa maknanya jika hati terasa rindu? Itu yang aku alami sekarang selepas menghantar dia pulang di airport Subang Sky Park pada petang itu. Pertemuan kali ke dua itu banyak mengukir senyum dan yang jauh menjadi dekat. Pertemuan empat jam itu begitu santai, tenang dan sesekali rasa romantis. Banyak bercerita tentang hari bersejarahnya sebagai graduan, tanpa disedari sebenarnya hari bersejarah juga dalam perkenalan ini. Aku menghayati tiap tutur katanya yang menggambarkan kebahagiaan hari bersejarah itu……memiliki segulung ijazah dan merealisasikan pertemuan dalam perkenalan kami. Aku kerap kali mencuri pandang lesung pipit yang menghiasi kiri kanan bibir yang menjadi kegilaan ramai itu. Iye, bibir itu menjadi fenomena di dalam muka buku sehingga aku terpanggil untuk menegur tutur kata peminat lelakinya yang agak kurang sopan dalam alam maya tersebut.
Empat jam di Subang Sky Park itu terasa sangat sekejap. Dia sendiri mengakui yang masa mencemburui kami. Aku melihat dia begitu selesa bersamaku berbanding pertemuan pertama tiga hari sebelumnya. Selepas minum di cafĂ©, kami sambung bersembang di ruang tempat menunggu dalam airport tersebut. Mengasyikkan menghayati perbualan masing-masing sehingga tidak sedar itu semua menjadi detik mula ke era baru sebuah perhubungan. Aku merasai hati kami terlalu dekat dan aku kuat mengatakan suatu masa aku tidak bertepuk sebelah tangan. Sepanjang perbualan itu juga mata kami asyik berpandangan. Aku mencari rindu di dalam matanya, dia pula aku tidak tahu….hahaha!
Perginya dia di sebalik tirai perlepasan itu menjadi rindu yang mendalam buat diriku. Sayang…rindu ini terukir buatmu….dia tidak mendengar pun, tapi biarlah hati ini berkata-kata mudah-mudahan akan terdetik juga di hatinya. Ada pesanan orang dulu-dulu menyatakan jangan menurut kata hati dan aku tidak menurut pun kerana aku tahu antara aku dan dia belum ada persamaan hati. Aku hanya menyatakan rindu kerana rindu itu aku pasti. Rindu ini juga menjadi harapan untuk kesinambungan seterusnya yang aku nampak terbentang luas di hadapan. Sebelum ini bentangan itu aku tidak nampak, namun sekarang…..sejak pertemuan itu, ruangan yang terbentang tersebut bercorak menjadi pelangi yang indah.
Cinta…..aku belum dapat menyatakannya tetapi perbualan-perbualan indah melalui whatsapp selepas itu menceritakan keriangan hati kami. Aku sudah berani menulis rindu kepadanya tiap kali mengakhiri whatsapp bersama dan rindu itu berbalas yang dia zahirkan juga dengan tulisan. Aku akui kehidupan ini sangat indah sejak kehadirannya dan keindahan itu menjadi mahligai syahdu sekiranya ada cinta yang berbalas….

Sepanjang Malam Keresahan

“Awk….bz ker? Senyap jer ari ni!”
Sebaris pesanan whatsaap aku terima pagi itu. Aku rasa terkejut, bersalah dan gembira yang amat sangat…..perasaan ini berbaur. Memang aku akui tidak bertanya khabar tentang dia pada pagi itu. Sebetulnya aku rasa sangat segan untuk berbuat demikian kerana aku bimbang dia rimas dengan kehadiran aku.
Mengenali dia menjadi impian aku kerana aku sangat berkenan dengan cara dia melayan usik nakal orang sekelilingnya dengan penuh kesabaran dan kematangan. Aku seronok tengok dia ceria ditambah lagi dengan seraut wajahnya yang ayu. Kekaguman aku dengan ciptaan Allah ini aku selam jauh di lubuk hati.
Setakat mengenali? Iye….aku rasa setakat itu yang aku layak. Lebih dari itu aku kategorikan sebagai angan-angan tak munasabah. Baik angan-angan Mat Jenin yang aku anggap lebih brilliant dan boleh dibawa ke masa depan menjadi sempurna. Bila fikir angan-angan tu aku berpeluh….apa tak nya, peminat dia ramai sangat, namun demikian setakat ini belum nampak dia melayan sesiapa walaupun seorang. Hah…angan-angan tu mula menjenguk lagi… Pertanyaan melalui whatsapp pagi tersebut telah mengukuhkan angan-angan itu bertapak di hati aku. Aku mula menjadi penilai sendiri. Bukan sahaja sebagai penilai……soalan aku yang buat, calon untuk jawab soalan tu akulah orangnya dan pemeriksa skrip jawapan tu pun aku jugak. Pastilah markah tertinggi yang aku dapat memandangkan segalanya ‘aku’. Maka lulus cemerlanglah angan-angan itu untuk berada di hatiku…
Ya…dia mulai menari-nari di hatiku setelah aku yang menjadi penilai maksud tersirat whatsaap yang dia kirimkan pagi itu. Persoalannya…..cemerlang macam mana sekali pun penilaianku itu, realitinya bukan menjadi rujukan dia pun untuk memilih aku mendampingi hatinya. Aku sekarang ini ibarat menyusun gambar-gambar dia di dalam album tetapi dia tidak melihatnya. Hati aku sebenarnya resah pada malam ini….resah kerana melayan angan. Ciri-ciri ke arah angau pun sebenarnya dah ada ni…..sabarlah hatiku, kau sememangnya jantan yang istimewa….puiiih!
Dia bertanya kenapa aku tidak menitip khabar untuk dia di pagi yang hatiku huru-hara itu? Tahukah dia yang jari jemari ini teramat menahan keinginan untuk menekan-nekan skrin smartphone pagi itu? Tahukah dia hati ini risau untuk terus menitip message pertanyaan? Tahukah dia pada pagi itu berjuta doa dalam hati ini memohon agar dia yang memulakan perkhabaran melalui whatsapp? Tahukah dia applikasi whatsapp itu telah beberapa kali disumpah seranah pada pagi yang sama kerana bunyi message yang masuk itu daripada orang lain? Aku tidak tahu berapa puluh kali Mark Zuckerberg tersedak makanan dek kerana sumpah seranah aku kenapa dia cipta applikasi whatsapp itu untuk orang lain guna sama…..sepatutnya hanya aku dan ‘buah hati’ aku sahaja yang boleh guna!
Persoalan-persoalan di atas seharusnya dia tahu bahawa hati ini telah sarat dengan bunga-bunga keinginan untuk bersamanya. Tapi mana mungkin untuk dia tahu kerana segalanya tersimpan di dalam hati ini. Aku tidak ada keajiaban untuk mencipta jaringan maklumat bagi membolehkan dia membaca hatiku. Untuk aku berterus terang dengan dia, itu sesuatu yang lagi tidak mungkin. Gila kau…baru dua tiga kali berbalas whatsapp, nak terus lamar hati orang! Bab pasti ditolak tu satu hal, kalau disuruhnya aku pergi berubat di spital gila….mana aku nak letak hati ini?? Dah ler aku kat sini anak yatim piatu (sebab mak aku kat Kampung).
Keresahan terus berlarutan bila aku masih memikirkan tentang potongan-potongan ayat dari pesanan whatsapp itu. Rindukah dia dengan diri ini? Jika rindu mana asasnya? Aku tidak jumpa asas itu. Memang rindu bertandang, tapi pokoknya di mana? Atau message pertanyaan itu sekadar sindiran daripadanya kerana aku tidak mengganggu handphone dia! Arghh….tidak mungkin begitu. Jika dia berasa lega sebab aku tidak mengganggu dia pada pagi itu, pastinya dia pamerkan kelegaan itu dengan berdiam diri. Menghantar message pertanyaan seperti itu ibarat sama nasib dengan harimau yang memalu gong Nabi Sulaiman….bertalu-talu disengat tebuan sehingga habis keturunan muka jadi sembab. Tak mungkin wanita yang cantik seperti dia memilih jalan yang terlalu silap begitu. Jika anak murid aku yang buat tindakan seperti itu memang logik, ini dia, cikgu….sama seperti aku. Jadi malam ini aku buat kesimpulan yang dia memang rindukan aku. Yahoo! Bahagianya hati!!
Heh!!....apasal kau yakin sangat? Aduhh…setan ni datang lagi mengganggu gugat pendirian hati aku. Kau tahu tak di sekeliling dia tu lelaki-lelaki yang jauh lebih hebat untuk memikat hati dia. Kau?? Bertentang mata dengan dia pun kau tak pernah. Lebih penting lagi….dia tidak pernah lihat engkau. Kau cuma dunia maya tahu! Kau tidak wujud di alam realiti dia seperti kawan-kawan tempat kerja dia. Kau tahu tak setiap hari mereka memikat dia dengan ayat-ayat manis? Tidak cukup dengan itu, mereka membantu kerja-kerja dia dengan menampakkan penuh keikhlasan. Semua itu lama kelamaan dapat membeli hati dia. Tinggallah kau dengan angan-angan kau yang tak sudah itu. Jadi, hentikanlah angan-angan kau itu dan kembali ke realiti bahawa hidup kau terlalu jauh dengan dia dan terlalu singkat dengan waktu.
Tapi…..dalam hidup ini segalanya tidak ada yang mustahil kecuali mati. Selagi dia hadir melewati hari-hariku, harapan itu tetap ada dan rindu itu akan tersemi di hati. Sekiranya dia teruja sangat dengan godaan-godaan memikat sekeliling dia itu, sudah lamalah hatinya menjadi milik mereka. Aku….walaupun sekadar di alam maya, tapi aku tetap wujud. Aku mampu menemani hari-harinya dengan kata-kata semangat dan harus diingat, kata-kata itu lebih berbisa berbanding tingkah laku. Assyahid Syed Qutb mampu menggerakkan rakyat Mesir untuk menggulingkan pemerintahan kuku besi Presiden Anwar Shadat menerusi tulisan-tulisannya sekalipun beliau berada di dalam tembok besi. Aku bertambah yakin. Aku pasti walaupun aku bukan Almarhum Syed Qutb, tapi aku tetap punyai peluang menggerakkan hatinya untuk terus mengenali hatiku. Aku melihat setan-setan itu berterbangan pergi walaupun tadi begitu galak bermain di kolam hatiku.
Malam telahpun melewati pukul 3.00 pagi. Hati ini merindui bicara-bicaranya. Rindukah dia terhadap diri ini sepertimana aku merindui dirinya? Kata pujangga, rindu itu satu penyiksaan tetapi bagiku rindu itu mengajar erti sebuah kebebasan…..kebebasan memilikinya daripada halangan-halangan yang ada. Esok masih ada dan akan ku pastikan esok rindunya menjadi milikku....
*Amanat terakhir Almarhum Assyahid Syed Qutb…
Saudara,
seandainya kau tangisi kematianku
dan kau sirami pusaraku dengan air matamu
maka di atas tulang-tulangku yang hancur luluh
nyalakanlah obor buat umat ini
dan teruskanlah perjalanan
ke gerbang jaya
Saudara,
kematianku adalah suatu perjalanan
mendapatkan kekasih
yang sedang merindu
taman-taman di syurga
Tuhanku bangga menerimaku
burung-burungnya berkicau riang menyambutku
bahagialah hidupku di alam abadi
Saudara,
puaka kegelapan pasti akan hancur
dan alam ini akan disinari fajar lagi
biarlah rohku terbang
mendapatkan rindunya
janganlah gentar
berkelana di alam abadi
nun di sana fajar sedang memancar
(ditulis beberapa jam sebelum menemui syahid di tali gantung pada tahun 1966)