Sepanjang Malam Keresahan

“Awk….bz ker? Senyap jer ari ni!”
Sebaris pesanan whatsaap aku terima pagi itu. Aku rasa terkejut, bersalah dan gembira yang amat sangat…..perasaan ini berbaur. Memang aku akui tidak bertanya khabar tentang dia pada pagi itu. Sebetulnya aku rasa sangat segan untuk berbuat demikian kerana aku bimbang dia rimas dengan kehadiran aku.
Mengenali dia menjadi impian aku kerana aku sangat berkenan dengan cara dia melayan usik nakal orang sekelilingnya dengan penuh kesabaran dan kematangan. Aku seronok tengok dia ceria ditambah lagi dengan seraut wajahnya yang ayu. Kekaguman aku dengan ciptaan Allah ini aku selam jauh di lubuk hati.
Setakat mengenali? Iye….aku rasa setakat itu yang aku layak. Lebih dari itu aku kategorikan sebagai angan-angan tak munasabah. Baik angan-angan Mat Jenin yang aku anggap lebih brilliant dan boleh dibawa ke masa depan menjadi sempurna. Bila fikir angan-angan tu aku berpeluh….apa tak nya, peminat dia ramai sangat, namun demikian setakat ini belum nampak dia melayan sesiapa walaupun seorang. Hah…angan-angan tu mula menjenguk lagi… Pertanyaan melalui whatsapp pagi tersebut telah mengukuhkan angan-angan itu bertapak di hati aku. Aku mula menjadi penilai sendiri. Bukan sahaja sebagai penilai……soalan aku yang buat, calon untuk jawab soalan tu akulah orangnya dan pemeriksa skrip jawapan tu pun aku jugak. Pastilah markah tertinggi yang aku dapat memandangkan segalanya ‘aku’. Maka lulus cemerlanglah angan-angan itu untuk berada di hatiku…
Ya…dia mulai menari-nari di hatiku setelah aku yang menjadi penilai maksud tersirat whatsaap yang dia kirimkan pagi itu. Persoalannya…..cemerlang macam mana sekali pun penilaianku itu, realitinya bukan menjadi rujukan dia pun untuk memilih aku mendampingi hatinya. Aku sekarang ini ibarat menyusun gambar-gambar dia di dalam album tetapi dia tidak melihatnya. Hati aku sebenarnya resah pada malam ini….resah kerana melayan angan. Ciri-ciri ke arah angau pun sebenarnya dah ada ni…..sabarlah hatiku, kau sememangnya jantan yang istimewa….puiiih!
Dia bertanya kenapa aku tidak menitip khabar untuk dia di pagi yang hatiku huru-hara itu? Tahukah dia yang jari jemari ini teramat menahan keinginan untuk menekan-nekan skrin smartphone pagi itu? Tahukah dia hati ini risau untuk terus menitip message pertanyaan? Tahukah dia pada pagi itu berjuta doa dalam hati ini memohon agar dia yang memulakan perkhabaran melalui whatsapp? Tahukah dia applikasi whatsapp itu telah beberapa kali disumpah seranah pada pagi yang sama kerana bunyi message yang masuk itu daripada orang lain? Aku tidak tahu berapa puluh kali Mark Zuckerberg tersedak makanan dek kerana sumpah seranah aku kenapa dia cipta applikasi whatsapp itu untuk orang lain guna sama…..sepatutnya hanya aku dan ‘buah hati’ aku sahaja yang boleh guna!
Persoalan-persoalan di atas seharusnya dia tahu bahawa hati ini telah sarat dengan bunga-bunga keinginan untuk bersamanya. Tapi mana mungkin untuk dia tahu kerana segalanya tersimpan di dalam hati ini. Aku tidak ada keajiaban untuk mencipta jaringan maklumat bagi membolehkan dia membaca hatiku. Untuk aku berterus terang dengan dia, itu sesuatu yang lagi tidak mungkin. Gila kau…baru dua tiga kali berbalas whatsapp, nak terus lamar hati orang! Bab pasti ditolak tu satu hal, kalau disuruhnya aku pergi berubat di spital gila….mana aku nak letak hati ini?? Dah ler aku kat sini anak yatim piatu (sebab mak aku kat Kampung).
Keresahan terus berlarutan bila aku masih memikirkan tentang potongan-potongan ayat dari pesanan whatsapp itu. Rindukah dia dengan diri ini? Jika rindu mana asasnya? Aku tidak jumpa asas itu. Memang rindu bertandang, tapi pokoknya di mana? Atau message pertanyaan itu sekadar sindiran daripadanya kerana aku tidak mengganggu handphone dia! Arghh….tidak mungkin begitu. Jika dia berasa lega sebab aku tidak mengganggu dia pada pagi itu, pastinya dia pamerkan kelegaan itu dengan berdiam diri. Menghantar message pertanyaan seperti itu ibarat sama nasib dengan harimau yang memalu gong Nabi Sulaiman….bertalu-talu disengat tebuan sehingga habis keturunan muka jadi sembab. Tak mungkin wanita yang cantik seperti dia memilih jalan yang terlalu silap begitu. Jika anak murid aku yang buat tindakan seperti itu memang logik, ini dia, cikgu….sama seperti aku. Jadi malam ini aku buat kesimpulan yang dia memang rindukan aku. Yahoo! Bahagianya hati!!
Heh!!....apasal kau yakin sangat? Aduhh…setan ni datang lagi mengganggu gugat pendirian hati aku. Kau tahu tak di sekeliling dia tu lelaki-lelaki yang jauh lebih hebat untuk memikat hati dia. Kau?? Bertentang mata dengan dia pun kau tak pernah. Lebih penting lagi….dia tidak pernah lihat engkau. Kau cuma dunia maya tahu! Kau tidak wujud di alam realiti dia seperti kawan-kawan tempat kerja dia. Kau tahu tak setiap hari mereka memikat dia dengan ayat-ayat manis? Tidak cukup dengan itu, mereka membantu kerja-kerja dia dengan menampakkan penuh keikhlasan. Semua itu lama kelamaan dapat membeli hati dia. Tinggallah kau dengan angan-angan kau yang tak sudah itu. Jadi, hentikanlah angan-angan kau itu dan kembali ke realiti bahawa hidup kau terlalu jauh dengan dia dan terlalu singkat dengan waktu.
Tapi…..dalam hidup ini segalanya tidak ada yang mustahil kecuali mati. Selagi dia hadir melewati hari-hariku, harapan itu tetap ada dan rindu itu akan tersemi di hati. Sekiranya dia teruja sangat dengan godaan-godaan memikat sekeliling dia itu, sudah lamalah hatinya menjadi milik mereka. Aku….walaupun sekadar di alam maya, tapi aku tetap wujud. Aku mampu menemani hari-harinya dengan kata-kata semangat dan harus diingat, kata-kata itu lebih berbisa berbanding tingkah laku. Assyahid Syed Qutb mampu menggerakkan rakyat Mesir untuk menggulingkan pemerintahan kuku besi Presiden Anwar Shadat menerusi tulisan-tulisannya sekalipun beliau berada di dalam tembok besi. Aku bertambah yakin. Aku pasti walaupun aku bukan Almarhum Syed Qutb, tapi aku tetap punyai peluang menggerakkan hatinya untuk terus mengenali hatiku. Aku melihat setan-setan itu berterbangan pergi walaupun tadi begitu galak bermain di kolam hatiku.
Malam telahpun melewati pukul 3.00 pagi. Hati ini merindui bicara-bicaranya. Rindukah dia terhadap diri ini sepertimana aku merindui dirinya? Kata pujangga, rindu itu satu penyiksaan tetapi bagiku rindu itu mengajar erti sebuah kebebasan…..kebebasan memilikinya daripada halangan-halangan yang ada. Esok masih ada dan akan ku pastikan esok rindunya menjadi milikku....
*Amanat terakhir Almarhum Assyahid Syed Qutb…
Saudara,
seandainya kau tangisi kematianku
dan kau sirami pusaraku dengan air matamu
maka di atas tulang-tulangku yang hancur luluh
nyalakanlah obor buat umat ini
dan teruskanlah perjalanan
ke gerbang jaya
Saudara,
kematianku adalah suatu perjalanan
mendapatkan kekasih
yang sedang merindu
taman-taman di syurga
Tuhanku bangga menerimaku
burung-burungnya berkicau riang menyambutku
bahagialah hidupku di alam abadi
Saudara,
puaka kegelapan pasti akan hancur
dan alam ini akan disinari fajar lagi
biarlah rohku terbang
mendapatkan rindunya
janganlah gentar
berkelana di alam abadi
nun di sana fajar sedang memancar
(ditulis beberapa jam sebelum menemui syahid di tali gantung pada tahun 1966)
2 Responses
  1. Anonymous Says:

    hati seakan berbunga berlagu riang!hati jua bagai dicuit nakal sang jejaka.bila ingatan datang bertandang,pasti rindu turut mengundang...apakah benar hati berbisik.....?ada sesuatu ....antara rima dan lagu,antara dia dan aku?sukarnya menenangkan jiwa yg resah,sukar lagi memikir hati yg mula parah!jari jemari mulai menyusun kata,menanya khabar sang arjuna,adakah resah seakan sama?


  2. Anonymous Says:

    Berbunga riang kerana kebersamaan itu. Semoga rindu yg terlahir menerbitkan sinar kebahagiaan. Lagu yg didendangkan punyai irama yg sama bkn kerana plagiat tapi kerana naluri...