Sekiranya Kau Membalas Cintaku...
12:34 PM
Sepasang mata indah yang sebelum ini hanya dapat ku tatap melalui helaian-helaian maya akhirnya ku temui pada petang Jumaat bersejarah itu. Seperti yang aku catat sebelum ini…..mustahil itu tidak ada dalam maksud hidup kecuali mati. Dan aku temui dia hari tu dengan perasaan penuh teruja, hati berlagu riang dan bercampur juga rasa tidak percaya. Cantik! Memang itulah kelebihan dirinya yang dilihat secara fizikal. Dia bukan Erra Fazira, bukan juga Nora Danish dan tidak juga Neelofa…tidak! Dia adalah diri dia yang tidak pernah diklon oleh sesiapa sebelum ini.
Cerita pertemuan hari itu menjadi titik mengukuhkan kedudukan diri aku. Hari-hari selepas itu menjadi hari-hariku yang berbunga….bukan berbunga kerana hubungan cinta, tapi berbunga kerana berpeluang menghampiri dia melebihi orang lain. Aku mulai perasan yang angan-angan aku tidak lagi angan-angan kosong walaupun perjalanannya tanpa sebarang panduan. Kami kerap kali berbalas pesanan whatsapp dengan pelbagai cerita yang bagaikan tidak pernah berpenghujung.
Cerita-cerita tentang dirinya semakin banyak aku perolehi dan kesudiannya berkongsi kisah seharian dia membuatkan aku berasa tidak sabar untuk berada dalam dunianya. Kisah dia yang sering diganggu oleh guru-guru lelaki sekolahnya kerap menghiasi sembang kami. Aku mula memahami yang dia sesungguhnya sangat tidak selesa dengan gangguan dari seorang guru lelaki yang telah beristeri dua itu. Dia perlukan aku untuk melindungi nasibnya di tempat kerja. Ini kesimpulan yang aku buat sekurang-kurangnya untuk menyedapkan hati bahawa diri ini memang diperlukan.
Jika benar aku diperlukan, benarkah aku tidak bermimpi? Mampukah aku sebenarnya berada di ruangan itu…..ruangan cinta bersamanya. Hati bergetar…..memang bergetar sejak pertama kali bersembang santai bersama dia di dalam muka buku itu. Jujur, naluri halus itu datang berkumpul dan bercorak menjadi indah. Aku kagum dengan tutur kata serta layanannya terhadap sekeliling. Bertitik tolak dari situ juga aku dapat membaca ketabahan serta kecekalannya melayari kehidupan dia yang ada pelbagai cabaran. Pertama kali aku rasa risau jika aku tidak dapat menjaga hatinya dengan sempurna….jauh anganku pergi.
Selepas aku ditinggalkan oleh seseorang yang aku anggap bakal suriku lebih 17 tahun yang silam, aku tidak pernah fikir tentang sayang, rindu atau kasih aku terhadap perempuan. Nak dikatakan merajuk, aku bukan merajuk sebenarnya. Cuma aku rasa segalanya telah jauh dari aku dan aku tidak terfikir untuk mengukir apa-apa angan. Aku sudah takut untuk memberi harapan pada insan yang memerlukan. Tetapi kehadiran dia telah menerbitkan detik itu…..detik keindahan menjadi seorang perindu dan rasa dihargai. Di mana kekuatan dia, aku sendiri tidak tahu.
Selama perkenalan dengan dia, aku menyedari yang dirinya menjadi perhatian ramai. Di dalam muka buku, aku dapat baca dan lihat sendiri. Di dunia nyata, dia memang akui rimas menepis perhatian orang terhadapnya. Hmmm….itulah cabaran orang yang dikurniakan wajah yang menarik, manis dan menjadi geram seorang lelaki. Aku pula jenis tidak suka berebut dan bermusuhan. Bagiku perebutan secara langsung atau tidak akan menjuruskan kita kepada permusuhan. Tidak usahlah cakap pasal jentelmen. Itu semua retorik sahaja. Yang betulnya, pihak yang tidak dapat tetap tidak seronok. Tetap tidak mampu bersorak-sorai seperti pihak yang dapat. Sedikit sebanyak di dalam hati tetap terbuku perasaan yang tidak elok. Paling koman pun keinginan hendak membalas dendam. Kalau sendiri tidak dapat membalas, dia tetap berharap orang lain tolong membalas. Ini kaedah orang kalah la yang sepatutnya aku tidak perlu fikirpun sebab antara aku dengan dia statusnya entah setakat mana. Angan jer pun yang lebih!
Apa maknanya jika hati terasa rindu? Itu yang aku alami sekarang selepas menghantar dia pulang di airport Subang Sky Park pada petang itu. Pertemuan kali ke dua itu banyak mengukir senyum dan yang jauh menjadi dekat. Pertemuan empat jam itu begitu santai, tenang dan sesekali rasa romantis. Banyak bercerita tentang hari bersejarahnya sebagai graduan, tanpa disedari sebenarnya hari bersejarah juga dalam perkenalan ini. Aku menghayati tiap tutur katanya yang menggambarkan kebahagiaan hari bersejarah itu……memiliki segulung ijazah dan merealisasikan pertemuan dalam perkenalan kami. Aku kerap kali mencuri pandang lesung pipit yang menghiasi kiri kanan bibir yang menjadi kegilaan ramai itu. Iye, bibir itu menjadi fenomena di dalam muka buku sehingga aku terpanggil untuk menegur tutur kata peminat lelakinya yang agak kurang sopan dalam alam maya tersebut.
Empat jam di Subang Sky Park itu terasa sangat sekejap. Dia sendiri mengakui yang masa mencemburui kami. Aku melihat dia begitu selesa bersamaku berbanding pertemuan pertama tiga hari sebelumnya. Selepas minum di cafĂ©, kami sambung bersembang di ruang tempat menunggu dalam airport tersebut. Mengasyikkan menghayati perbualan masing-masing sehingga tidak sedar itu semua menjadi detik mula ke era baru sebuah perhubungan. Aku merasai hati kami terlalu dekat dan aku kuat mengatakan suatu masa aku tidak bertepuk sebelah tangan. Sepanjang perbualan itu juga mata kami asyik berpandangan. Aku mencari rindu di dalam matanya, dia pula aku tidak tahu….hahaha!
Perginya dia di sebalik tirai perlepasan itu menjadi rindu yang mendalam buat diriku. Sayang…rindu ini terukir buatmu….dia tidak mendengar pun, tapi biarlah hati ini berkata-kata mudah-mudahan akan terdetik juga di hatinya. Ada pesanan orang dulu-dulu menyatakan jangan menurut kata hati dan aku tidak menurut pun kerana aku tahu antara aku dan dia belum ada persamaan hati. Aku hanya menyatakan rindu kerana rindu itu aku pasti. Rindu ini juga menjadi harapan untuk kesinambungan seterusnya yang aku nampak terbentang luas di hadapan. Sebelum ini bentangan itu aku tidak nampak, namun sekarang…..sejak pertemuan itu, ruangan yang terbentang tersebut bercorak menjadi pelangi yang indah.
Cinta…..aku belum dapat menyatakannya tetapi perbualan-perbualan indah melalui whatsapp selepas itu menceritakan keriangan hati kami. Aku sudah berani menulis rindu kepadanya tiap kali mengakhiri whatsapp bersama dan rindu itu berbalas yang dia zahirkan juga dengan tulisan. Aku akui kehidupan ini sangat indah sejak kehadirannya dan keindahan itu menjadi mahligai syahdu sekiranya ada cinta yang berbalas….