Malam Yang Berirama....

Malam itu….satu malam yang indah, malam yang penuh dengan rasa kehebatanNya, malam yang sebenarnya telah meletakkan angan-angan di landasan impian. Dia kembali menghubungiku melalui private message yang aku anggap telah berkubur. Aku tidak punya minyak untuk ditawarkan saat dia hadir pada malam bersejarah itu. Dia…wanita yang bukan saja cantik tetapi memiliki pendirian hidup yang mengkagumkan. Maka tidak hairanlah jika minyak-minyak yang ditawarkan oleh pelbagai lelaki di luar sana satupun tidak diendahkannya. Aku berdepan dengan dia di alam maya pada malam itu penuh dengan rasa teruja, mengikuti tiap-tiap bait bicara darinya dengan begitu cermat kerana tuah ini tidak selalunya datang.
Lama kami berbalas private message pada malam itu kerana dia sendiri tidak lokek untuk berbicara denganku. Aku yang tidak pernah berpeluang berbicara dengan dia sebelum ini seperti berada di awangan. Lenggok bahasanya cukup untuk memberi gambaran dirinya seorang yang tertib, menghargai dan faham erti sebuah perkenalan. Lebih dari itu dia bukan jenis perempuan yang terpikat dengan gula-gula kata. Memang patutlah rata-rata peminat lelakinya melalui Muka Buku tidak dia layanpun untuk bersembang. Komen-komen mengayat yang mereka turunkan dalam setiap post di wall Muka Bukunya cuma dibalas dengan ayat paling selamat. Itulah kelebihan dirinya….. pandai menyelamatkan diri setiap kali berdepan dengan jerat. Aku memahami banyak perkara tentang dirinya pada malam itu. Rupa-rupanya, dia merupakan bekas pelajar institut perguruan yang lokasinya tidak jauh dari tempat tinggal aku pada tahun 2001 dahulu. Jadi dia sangat mahir dengan suasana persekitaran aku dan atas tiket inilah idea untuk aku berbalas private message dengannya semakin rancak. Butir perbualan kami santai kalaupun ada sedikit formal sekali sekala….maklumlah kami tidak pernah sekalipun berhubung tinta walaupun sebenarnya aku pemerhati setia dirinya. Sekadar perhati? Iye…sekadar pemerhati kerana wajah ayu itu begitu menenangkan hatiku. Wajah itu memancarkan sinar matanya yang penuh dengan cahaya keindahan….tanpa kesombongan, tanpa prejudis dan tanpa nakal memikat. Wajah itu hadir tampak dengan keikhlasan yang penuh seolah dari lubuk hatinya yang dalam.
Perbualan kami melewati malam sambil sekali sekala dia dan aku membalas komen dalam wall Muka Buku. Komen kami berdua agak formal dan berhati-hati kerana kami sedar seramai lebih 50K pasangan mata memerhati perbualan maya kami itu. Hatiku bernyanyi riang dalam situasi itu…..situasi berbalas private message dan berbalas komen terbuka. Aneh….seolah-olah persefahaman yang mulai berputik itu tidak pernah surut ideanya sehingga berterusan mencurahi ruangan maya tersebut.
“Awak…ada nombor whatsapp tak? Mana tahu kut saya pergi ke KL dan dapat bertanya awak jika kecemasan..”
Ya Allah….aku bermimpikah ini. Aku sebetulnya yang sudah lama berangankan nombor telefon bimbit dia. Malam ini aku berpeluang berkongsi nombor telefon bimbitku dengannya kerana memenuhi permintaannya itu sekali gus memberi makna dia menerima perkenalan ini. Aku tiba-tiba rasa diri ini sangat berharga bila insan sepertinya sudi berterusan berhubung denganku.
“Ini pula nombor whatsapp saya ye, awak….”
Aku tidak berlengah, terus nombor yang baru aku perolehi itu aku simpan dalam smartphone aku. Aku memberanikan langkah memulakan whatsapp dengannya pada detik itu juga.
“Assalam. Hi, awk….”
Itulah ayat pertama aku terhadapnya melalui applikasi whatsapp. Kami terus berbalas whatsapp dengan lebih rancak lagi. Perbualan kami lebih terbuka seolah-oleh mendapat satu tenaga baharu di tengah malam yang sunyi itu. Malam jer yang sunyi, tapi hati aku berdendang riang kerana mampu berdampingan dengan rakan Muka Buku yang hebat ini. Benar!...aku lebih memandang keupayaan pemikirannya, hati budinya dan tutur tertibnya walaupun lelaki-lelaki di luar sana rata-rata berebut kecantikan wajahnya. Kecantikan itu sebenarnya hanyalah tatapan umum..…seandainya tiba-tiba berselisih dengan wanita yang punyai wajah lebih cantik berbanding dirinya, maka berkejaranlah lelaki-lelaki tersebut mengikut wajah yang baru ditemui itu. Begitu sahajalah kesudahan dengan sebuah kecantikan. Cantik itu subjektif dan sesuatu yang subjektif ini sentiasa bersifat relatif dalam setiap penilainya. Perhubungan berteraskan rupa paras selalunya tidak akan ke mana. Pengakhirannya air mata kerana di situ potensi kecurangan berada pada tahap yang paling maksimum.
Usikkan-usikan aku terhadap kecantikan wajahnya sering kali ditepis tegas.
“Awk…saya tidak secantik mana la. Jangan cakap macam tu lagi, saya malu...”
Itulah dia.…merendah dirinya begitu sekali dengan aku sedangkan dia tahu kenalan-kenalan lelaki dalam Muka Buku itu mengejar dia semata-mata kerana keayuan wajahnya. Sepasang bibir yang menghiasai wajah itu cukup menggetarkan perasaan seorang lelaki tidak kira apa pangkat pun. Aku simpan di hati kekaguman aku terhadap hiasan di wajahnya itu. Aku tidak menyatakan….tidak sesekali kerana aku tidak mahu gelojohkan diri seperti mana lelaki-lelaki pemburu dirinya.
Sedar tak sedar perbualan maya kami telah melewati pukul 1 pagi. Dia meminta diri untuk beransur kerana perlu menyediakan sesuatu untuk permata hatinya yang tiba-tiba berbunyi. Aku melalui malam itu dengan pelbagai irama di hati dan yang pastinya aku miliki detik dia yang berharga…. detik yang menjadi idaman orang lain pada setiap waktu. Malam itu berakhir dengan aku membina harapan baru….harapan untuk sebuah perkenalan yang membahagiakan….
0 Responses