Hati Yang Bergetar....
1:07 PM
TENTANG DIA....
Aku garapkan kisah ini kerana bagi aku dia miliki keistimewaan yang tersendiri. Apa yang ada dalam dirinya membuatkan aku merenung jauh bahawa hidup ini adalah suatu perjuangan diri yang kompleks.
Kehidupan seharian aku sebenarnya banyak terluang sejak tidak lagi bergelar pegawai di pejabat. Impian aku sebaik sahaja kembali ke sekolah adalah untuk bersama anak didik dan selebihnya berehat. Arghh….lega! Tidak ada lagi kerja-kerja outstation yang tidak berpenghujung itu. Menu-menu hotel yang saban minggu membasahi tekak sehingga naik loya kini tinggal kenangan. Begitu bersemangat sebenarnya keinginanku untuk kembali ke lapangan sebenar…..sebagai pendidik.
Muka Buku!...hasil cetusan idea Mark Zuckerberg ini memang menggemparkan. Segalanya ada di sini. Muka Buku memberi aspirasi sebenar dunia di hujung jari apabila waktu-waktu terluangku ini mulai banyak tercurah di sini. Aku tiba-tiba menjadi sibuk….sibuk melayari pelbagai maklumat dan pergaulan terutama dalam bidang pendidikan tanpa sempadan. Kami golongan pendidik berkumpul, berbincang, melontar idea serta berkomentar melalui Kami Guru Malaysia(KGM) iaitu satu kumpulan yang berpengkalan dalam Muka Buku ini yang bercita-cita mencetuskan idea segar dalam memartabatkan pendidikan di negara tercinta ini. Segalanya melalui dunia maya namun penuh bermakna.
Kehadiran dia melewati komentar-komentar ku dalam KGM sememangnya aku sedari. Aku mengambil sikap biasa-biasa namun membalas setiap komen-komennya yang selalunya santai. Setiap komen nukilnya begitu tertib, menggambarkan dirinya seorang pendidik yang sentiasa positif dalam mendepani cabaran hidup. Sebagai seorang wanita muda yang memiliki raut wajah menarik, dia tidak terlepas dari usikan rakan-rakan lelaki dalam KGM. Usikan-usikan nakal itu dilayannya dengan tenang dan bijak supaya hati tidak terguris. Aku Cuma memerhati sambil tersenyum. Memang sikap aku sejak dulu memilih situasi selamat dengan tidak mengusik perempuan. Teman-teman pada zaman persekolahan pun telah sedia melebel aku sebagai lelaki serius yang sukar mesra. Aku nak bocorkan rahsia di sini…..sebenarnya zaman persekolah tu aku bukanlah serius tetapi sebaliknya aku pemalu….pemalu tahap gaban…hahaha. Sikap tidak mengusik itu terbawa-bawa hingga sekarang walaupun aku tidak lagi seorang yang pemalu dengan insan bernama perempuan. Jadi, selamatlah dia kerana tidak menjadi mangsa usikkan aku sekali.
Sehinggalah…..suatu hari dalam bulan Oktober 2015 aku terbaca komen dia dalam wall KGM yang posting dibuat oleh seorang rakan guru wanita. Post tersebut berkait dengan keluhan guru tersebut yang begitu tertekan dengan penyakit anaknya sehingga beliau keluar masuk hospital dan sukar mendapat keizinan cuti daripada ketua jabatan.
Komen dia melalui post ini sebenarnya membuat aku tersentak…..rupa-rupanya dia yang nampak begitu santai dan sentiasa tersenyum manis itu punyai pengalaman melalui keperitan hidup yang bukan sedikit. Memiliki dua orang cahaya mata dan seorang daripadanya iaitu si abang yang berusia 8 tahun mengidap penyakit jantung berlubang. Keperitannya keluar masuk hospital dan kesukaran mendapat kerjasama pihak majikannya berkaitan cuti telah diceritanya dengan ringkas tetapi padat melalui komen tersebut. Dia bercerita bukan untuk merintih atau simpati, tetapi bagi membangkitkan semangat rakan guru tersebut dalam menghadapi cabaran yang Allah SWT berikan. Termenung panjang aku dalam menghayati komen dia….hebatnya wanita ini membawa ketabahan diri. Begitu redha dia dengan Penciptanya walaupun berat ranjau hidup yang dia lalui….pasti.
Aku membalas komen dia yang hebat itu dengan mengucapkan tahniah ke atas dirinya. Ucapan sepenuh keikhlasan dari hatiku yang dalam sebenarnya…betapa tidak….dia cuba selesaikan ujian ke atas dirinya satu persatu dengan tenang sehingga akhirnya dia mendapat peluang berpindah pulang ke kampung halaman di utara tanah air pada 1 Januari 2015. Harus diingat….belum selesai masalahnya, sekadar membebaskan diri sedikit untuk mendapat ruang keselesaan berbanding dengan tinggal di sebuah kota raya kosmopolitan Kuala Lumpur.
Setelah komen itulah baru aku mula mengenali dia dengan lebih mendalam. Dia memasukkan nama aku dalam senarai kawan Muka Bukunya dan dari situ aku mulai rajin bertanya khabar tentang kesihatan anak dan dirinya juga. Dia seperti biasa tenang bercerita dengan penuh positif. Langsung dia tidak bersangka buruk tentang Sang Penciptanya yang memberi dia ujian sebesar itu. Dia pulang bertugas di kampung halaman tanpa suaminya yang dikatakan tidak dapat ikut sama berpindah kerana tuntutan kerja yang berbeza. Suaminya…..seorang anggota polis di ibu kota perlu patuh kepada arahan tugasan.
Di sebalik semua itu, ada cerita lain yang lebih panjang sebenarnya. Setelah lama bertukar-tukar cerita, dia akhirnya membuka rahsia yang membuatkan diri ini rasa terpana. Ujian yang menimpa anak sulung dia sebenarnya hanyalah sebahagian ujian. Untuk sebuah cerita yang lengkap, aku perlu membuka bab yang lain….bab yang ada klisenya tersendiri termasuk kisah silamnya yang panjang….yang penuh dengan kekalahan dan ketewasan dalam setiap percaturannya.
BERTENTANG MATA....
Dugaan yang diterimanya sedikit pun tidak mematahkan semangat untuk dia menyambung belajar dari diploma pendidikan ke ijazah sarjana muda TESL. Saat aku mengenali dia rupanya dalam situasi dirinya telah memenangi perjuangan untuk mendapatkan degree. Tarikh yang sepatutnya dia menghadiri majlis konvokesyen dirinya di UIA jatuh pada 8 November 2015. Akhir Oktober itu, teman-teman sepengajian lain telah pun membuat persiapan untuk majlis konvokesyen tersebut. Dia???....segalanya dalam dilema. Saat itu permata hati sulungnya mengalami gangguan kesihatan yang agak serius dan ini tidak memungkinkan untuk dia datang menghadiri majlis besar penuh bersejarah tersebut. Memang permata hati kesayangan itu dijaga rapi oleh ke dua ibu bapanya tetapi naluri keibuannya telah meletakkan dia dalam dilema. Aku memberi sokongan berterusan untuk semangatnya bahawa segala ujian itu tidak boleh menghalang impian dia untuk berada di pentas graduasi UIA. Aku sendiri berjanji akan membantunya sepanjang berada di Kuala Lumpur ini bagi melancarkan pergerakkannya. Allahamdulillah, atas semangat inilah dia mengambil keputusan untuk hadir ke majlis konvokesyen tersebut.
Tarikh 5 November 2015, dia bertolak dari kampung dengan menaiki penerbangan Firefly dan mendarat di Subang Sky Park pada petangnya. Dia tidak membenarkan aku membantunya kerana kebetulan adik lelakinya yang bekerja di Subang dapat menjemput dia pada petang itu. Sepanjang berada di ibu kota ini iaitu 5 November hingga 9 November 2015, dia menumpang di rumah sahabat karibnya bertempat di Ulu Klang. Sahabat yang dikenali dengan nama Aida ini sebenarnya banyak berkorban untuk dia sepanjang menempuh dugaan sebelum dia berpindah bertugas di kampung halaman. Aida merupakan rakan satu tempat kerja di Keramat AU2 dahulu. Allahamdulillah dia selamat di situ dan aku tidak kisah asalkan dirinya selesa.
Hari Jumaat 6 November 2015 adalah hari bersejarah bagi aku dan dia. Pertemuan pertama kami di Suria KLCC lebih kurang jam 2.50 petang. Aku begitu teruja untuk mengenali dirinya dan aku berasa sangat berbesar kerana dia sudi membuka peluang itu untuk diriku. Tidak pernah bersua, tetapi anehnya kami tidak sedikitpun berasa janggal untuk berbual-bual sambil bertukar cerita diri masing-masing. Aku tentu sekalilah banyak bertanya tentang dirinya dan kesihatan anak sulungnya itu. Lama kami bersama dan pertemuan hari itu berakhir jam 6.40 minit petang bila kami masing-masing menaiki Putra LRT untuk pulang. Arah kami berlainan…..dia menuju ke Stesen Setiawangsa kerana Aida menanti di situ manakala aku pula menuju ke destinasi Taman Jaya, PJ. Tinggallah detik indah itu bermain di mindaku.
MAJLIS KONVOKESYEN....
Aku tidak mengganggu dia pada tarikh bersejarahnya 8 November 2015 kerana aku sedar dirinya terlalu sibuk dengan majlis di samping meraikan teman-teman lamanya. Aku sekadar mengucapkan tahniah dan memberikan kata-kata semangat buat dirinya melalui aplikasi Whatsapp pada pagi hari tersebut. Aku menerima kiriman gambar dia melalui Whatsapp pada tengah hari itu. Dirinya begitu sekali ceria bersama rakan-rakannya selepas majlis bersejarah itu selesai. Aku sangat terharu di atas perkongsian gambar tersebut. Kesudian berkongsi gambar kegembiraan itu sebenarnya memberi penghormatan yang besar buat diriku. Aku sendiri berasa begitu bangga kerana dapat melihat dia menggenggam impiannya menyertai majlis konvokesyen itu. Dia juga seperti memahami, pada malam itu terus saja dia meluangkan masa berkongsi cerita denganku melalui Whatsapp sehingga lewat pagi. Bagai tiada kepenatan untuk dirinya sedangkan aku tahu dia sebenarnya sangat penat pada siang tadi. Apa lagi yang mampu aku katakan selain melahirkan rasa bangga dan sangat dihargai olehnya.
LAMBAIAN PULANG....
Tanggal 9 November 2015 merakam satu lagi detik bersejarah buat diri kami. Aku mengiringi dia pulang ke kampung pada hari tersebut. Dia dihantar oleh Aida dari Ulu Klang ke Subang Sky Park di mana tempat dia akan berlepas pada pukul 6.40 petang hari tersebut. Aku telah sedia menantinya di lapangan terbang itu dan kami bertentang mata lagi pada jam 3.00 petang. Raut wajahnya lebih berseri-seri pada kali ini.....tidak pasti kerana dapat menemui akau lagi atau kerana dirinya tidak sabar untuk pulang bagi melepaskan rindu terhadap dua orang permata hatinya yang telah 4 hari ditinggalkan. Lama juga kami bersembang sambil minum dan sembang kali ini lebih bermakna berbanding ketika kali pertama kami berjumpa dua hari sebelum itu. Tutur kata cermatnya serta senyuman manisnya menghiasi pertemuan kami sepanjang 3 jam itu.Sesungguhnya aku kagum dengan kecekalannya, pemikirannya yang sentiasa positif dan semangat dia ingin membentuk kehidupan yang hebat di sebalik titik suram itu. Aku menghantarnya ke balai perlepasan 30 minit sebelum pesawat bergerak. Itulah lambaian terakhir dia di mataku. Senyuman manisnya sentiasa bermain di mindaku dan tiba-tiba aku menjadi seorang perindu…
bait-bait yg sangat bermakna..perasaan yg bercampur baur,sukar diterjemahkan.sekian lama berkelana,diri terpana dgn rahsia allah taala.indah sungguh merindui,lebih indah lagi dirindui,rindu penulis itu rezeki,dari allah yg memberi..